Khamis, 3 Mei 2018

SAYA BUKAN 'PENJUAL AGAMA'...


PENGGUNAAN PISTOL MAINAN ini hanya kaedah perubatan dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam, malah saya menggunakan ayat al-Quran sepanjang melakukan rawatan,” kata Ustaz Mohd Raffi Harun, 54.
Video perubatan yang diamalkan Mohd Raffi, sebelum ini mengejutkan masyarakat apabila menggunakan pistol mainan dalam perubatan sehingga menjadi tular di media sosial.
Difahamkan, video itu sudah DITONTON LEBIH DUA JUTA DAN DIKONGSI 14,000 KALI DI FACEBOOK sekali gus meraih pelbagai pandangan dan kritikan netizen.
Mohd Raffi dari Kampung Losong Tangki Air, Kuala Terengganu, berkata dia menjalankan kaedah perubatan tradisional sejak berusia lapan tahun di Batu Pahat, Johor dan sentiasa berubah-ubah kepada kaedah lebih berkesan.
“Pada peringkat awal dulu, saya menggunakan kaedah bacaan pada air, kemudian beralih kepada penggunaan kain putih dan kaedah contengan pada buku menggunakan empat pen berlainan warna beberapa tahun selepas itu.
“Terbaru selepas sembuh daripada sakit selama setahun empat bulan pada 2014 sehingga mengalami kemurungan teruk, saya memperolehi ilham yang diberikan Allah untuk menjalani rawatan tradisional itu menggunakan pancaran cahaya laser.
“Memandangkan kos untuk membeli peralatan laser agak tinggi, saya tiada pilihan selain menggunakan pistol mainan kerana itu sahaja pilihan yang ada, malah tidak pernah terfikir penggunaan pistol mainan akan menjadi isu dan menerima kritikan teruk daripada masyarakat,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurutnya, sehingga kini dia sudah merawat lebih 4,000 pesakit termasuk yang direkodkan seramai 3,469 pesakit dari seluruh negara termasuk Indonesia, Singapura dan China.
“Saya akui video perubatan yang ditular ini dimuat naik sendiri oleh saya dan beberapa anak murid di laman sesawang milik kami di Internet dengan persetujuan pesakit dengan harapan untuk menghebahkan kaedah perubatan itu kepada umum.
“Saya terdorong untuk berbuat demikian kerana berang dengan sikap segelintir pengamal perubatan melabelkan diri mereka sebagai ustaz, tetapi bebas menyentuh pesakit wanita termasuk meraba dan mengambil kesempatan terhadap pesakit,” katanya.
Menurutnya, kaedah perubatan yang diamalkannya memberi pilihan kepada masyarakat terutama wanita untuk menjalani rawatan tanpa sebarang sentuhan atau perbuatan yang menjurus ke arah tidak baik.
“Saya terkilan dengan tuduhan segelintir pihak yang melabel saya sebagai ‘penjual agama’ untuk kepentingan diri, malah ada netizen yang tergamak menghina cara saya berpakaian termasuk pemakaian kopiah itu.
“Saya tidak pernah memaksa pesakit untuk datang berubat dan paling penting saya tidak pernah menetapkan sebarang bentuk upah atau harga tertentu yang perlu mereka bayar selepas menjalani rawatan.
“Jika saya terlalu mengutamakan wang ringgit atau upah, saya pasti menetapkan harga untuk setiap rawatan, malah pernah menerima upah 80 sen daripada seorang pesakit, namun tidak membuatkan saya berhenti daripada meneruskan amalan perubatan itu,” katanya.
Sementara itu, Imam Masjid Tengku Tengah Zaharah Ustaz Ahmad Ridhwan Md Radzi berkata, kaedah perubatan yang digunakan Mohd Raffi tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana setiap orang mempunyai kaedah rawatan masing-masing.
“Bagaimanapun, penting untuk kita pastikan amalan perubatan yang diamalkan serta dikaitkan dengan Islam itu perlu bersandarkan kepada al-Quran dan hadis supaya ia tidak menimbulkan sebarang fitnah di kalangan masyarakat,” katanya.

Sumber: KLIK DISINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan