Pokok kunyit
Nama Botani
: Curcuma domestica
Nama Lain: Kurkum (Arab), jiang huang, yu jin(China), Indian Saffron,
kunir(Indonesia), kondin, temu kuning, ukon. Famili: Zingerberaceae
Pengenalan
Kunyit adalah tumbuhan herba yang menjadi antara bahan utama dalam masakan
masyarakat Asia dan kunyit telah digunakan sejak turun temurun lagi. Kunyit
hidup subur dikawasan lapang dan terdedah kepada cahaya matahari.
Ketinggian
tumbuhan ini melebihi satu meter. Rizom kunyit berwarna kuning, sedikit bersisik,
berbentuk memanjang dan berjejari. Daunnya licin, berwarna hijau, berbentuk
bujur dan meruncing dihujung, berbau harum serta mempunyai tangkai yang
panjang.
Pokok ini mengeluarkan bunga berwarna kuning yang terdapat di
celah-celah daun muda.Isi kunyit selalunya terdiri dari ibu kunyit yang
dikelilingi oleh cabang-cabang.
Kegunaan
Bagi masyarakat Melayu, kunyit juga diminum sebagai jamu terutamanya ibu
selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Manakala
masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah,
menghilangkan kesan lebam dan darah beku.
Di Thailand kunyit digunakan untuk
merawat bisa patukan ular tedung. Dalam ilmu perubatan Hindu, kunyit disyorkan
sebagai pes untuk mengubati penyakit kulit, dan depilatori.
Kunyit mempunyai sifat anti-radang,antioksida,anti kanser, pelindung hati.
Kandungan kimia kunyit terdiri daripada minyak atsiri, sikloiserin, mirsen,
metil farbinol, d.kamper, dan kurkurmin.
Dalam perubatan tradisional melayu kunyit digunakan untuk mengubat tekanan
darah tinggi,demam kuning, cirit-birit, meningkatkan selera makan, mengubat
sakit perut, sembelit, kencing berdarah, radang ginjal dan menyegarkan badan.
Cara penggunakan untuk penyakit diatas ialah dengan cara menumbuk kunyit hingga
halus, campurkan air dan tapis hampasnya dan diminum sekali sehari selepas
makan.