Perubatan tradisional Melayu ialah perubatan Melayu yang diamalkan oleh para bomoh dan
Tok Dusun sejak beberapa abad dahulu. Perubatan ini yang banyak menggunakan
bahan-bahan yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan dan herba telah
diterima dengan penuh minat oleh masyarakat Melayu di Malaysia kerana ia merupakan kaedah yang selamat dan
tidak memberi kesan sampingan terhadap tubuh badan manusia.
[1] Ini dapat di buktikan dengan banyaknya produk ubat
tradisional Melayu yang dipasarkan. Dianggarkan pada masa ini melebihi 13,000
jenis tumbuh-tumbuhan yang berpotensi untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan
pelbagai penyakit. Kebanyakkan tumbuh-tumbuhan ini terdapat di kawasan tropika. Menurut kajian Universiti Sains Malaysia,
terdapat 2,000 hingga 3,000 spesies tumbuh-tumbuhan ubatan di
Malaysia yang telah digunakan bagi tujuan perubatan moden dan tradisional.
[1] Satu lagi faktor tentang mengapa perubatan
tradisional Melayu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat adalah kerana ia
lebih murah, berbanding dengan rawatan dan perubatan lain.
Pengamal perubatan tradisional Melayu banyak bergantung
kepada pengetahuan dan ingatan yang diwarisi daripada guru mereka secara
turun-temurun. Dikalangan bangsawan, terdapat juga buku perubatan dikarang,
yang dipengaruhi dari Parsi seperti kitab Tib yang dikarang. Ada juga yang dikatakan mendapat
ilmu tentang perubatan dan rawatan melalui mimpi atau ilham dengan cara-cara
yang tertentu.[1]
Pada zaman penjajahan British, amalan perubatan Barat sangat popular
sehingga amalan perubatan tradisional Melayu dilupai, khususnya oleh golongan bangsawan dan para cendekiawan.[1] Masyarakat Melayu lebih mempercayai perubatan Barat
yang dibawa oleh penjajah kerana kajian yang dijalankan mereka terhadap sesuatu
penyakit adalah lebih saintifik. Namun sejak akhir-akhir ini, perubatan
tradisional Melayu semakin mendapat tempat di hati masyarakat Melayu kerana ia
tidak menggunakan bahan-bahan kimia dan beracun.
Sistem perubatan tradisional Melayu
Perubatan tradisional Melayu adalah
melalui amalan petua yang terdiri daripada dua aspek, iaitu amalan suruhan dan
amalan tegahan.[1]Amalan suruhan banyak berhubung dengan pemakanan daripada
segi jenis, kuantiti, dan khasiat yang terdapat
di dalam tumbuhan. Ia bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan serta
mengelakkan sebarang serangan penyakit dan keuzuran. Amalan tegahan pula
bertujuan untuk menghalang pesakit daripada memakan makanan tertentu sewaktu
dalam tempoh rawatan sebagai pantang larang. Ia bertujuan untuk memeliharakan kesihatan
manusia dalam keadaan baik secara berterusan atau bagi mempercepatkan penyembuhan
penyakit.
Kebanyakkan pengamal perubatan
tradisional Melayu mengkategorikan punca penyakit kepada yang bersangkutan
dengan darah dan yang bersangkutan dengan angin.
Darah perlu 'panas' tetapi tidak boleh berlebihan.[1] Angin disalurkan melalui urat di dalam badan.
Namun jika terdapat terlalu banyak angin, ia akan menyekatkan perjalanan darah
lalu menganggu kesihatan. Justeru, darah dan angin merupakan dua unsur utama
dalam tubuh seseorang.
Jika kedua-dua darah dan angin berkeadaan baik, maka
individu yang berkenaan itu akan sihat. Sehubungan dengan itu, kaedah pengurutan juga
dilakukan bagi menolak 'angin' dan merangsang perjalanan darah dan urat.
Pengurutan biasanya dilakukan pada bahagian-bahagian badan yang terlibat dalam
kerja berat, seperti tangan, kaki, dan belakang tubuh. Ia dilakukan dengan
menggunakan minyak urut atau minyak angin yang
diperbuat daripada minyak kelapa dan
beberapa jenis tumbuhan yang mempunyai khasiat 'panas'.
Tumpuan utama
pengurutan adalah untuk merawat perempuan lepas bersalin. Di samping itu,
mereka juga digalakkan mengambil ramuan tumbuhan untuk dimakan dan disapu pada
badan bagi mengeluarkan angin dari urat.
Kitab perubatan Melayu silam
dinamakan kitab Tib dan Perpustakaan Negara
Malaysia telah mencetak semula kajian mengenai kitab tib
seperti judul Kitab Tib: Ilmu Perubatan
Melayu untuk kajian dan rujukan mengenai kesusteraan bahasa
Melayu.
Dalam perubatan tradisional Melayu,
penggunaan tumbuh-tumbuhan adalah amat meluas. Kebanyakkan pengamal perubatan
tradisional Melayu berpendapat khasiat perubatan terletak terutama pada akar tumbuhan
dan bagi tumbuhan yang berubi, ia terletak pada ubinya.
Pengamal perubatan tradisional Melayu biasa mengkategorikan zat tumbuhan kepada
tiga, iaitu:[1]
1.Zat besi untuk
menguatkan darah;
2.Zat kawi untuk
menstabilkan perjalanan fungsi tubuh; dan
3.Zat kapur untuk
menyejukkan badan.
Gabungan Pengamal Perubatan
Tradisional Melayu Malaysia (GAPERA) menggantikan PUTRAMAS merupakan salah satu
Badan Pengamal yang dikenal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di Bahagian
Perubatan Tradisional dan Komplementari sila lihat GAPERA
Prinsip amalan perbomohan
Amalan perbomohan yang menurut perspektif Islam mestilah
berdasarkan sumber-sumber yang pasti, sama ada dari al-Quran atau dari Sunnah, serta sumber-sumber perundangan yang diiktiraf oleh
Islam. Sekiranya terdapat percanggahan dengan prinsip akidah Islam, maka amalan
tersebut perlu disingkirkan. Penggunaan ayat-ayat roh,penunggu, atau makhluk lain, dengan
tujuan untuk bersahabat atau meminta bantuan daripada mereka, tidak dibenarkan
dalam amalan perubatan Melayu. Justeru, bantuan dan harapan hanyalah
bersandarkan kepada Allah, di samping usaha-usaha yang
dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan